July 21, 2008

Merokok diharamkan disisi syarak

Artikel ini dipetik dari fatwa yang dikeluarkan oleh Profesor Dr. Yusof Al-Qardawi :

Secara umumnya para doktor dan penganalisis sebulat suara menjelaskan implikasi buruk merokok ke atas tubuh badan secara umum, dan secara khususnya terhadap paru-paru dan organ pernafasan, seterusnya boleh membawa kepada kanser paru-paru. Inilah faktor yang meyebabkan masyarakat dunia sejak tahun-tahun kebelakangan ini menyeru agar berhati-hati terhadap aktiviti merokok.

Sepatutnya di zaman kita ini para ulamak sepakat membuat keputusan ini. Sesungguhnya keputusan ahli feqah dalam masalah ini diasaskan atas pandangan pakar perubatan. Bilamana pakar perubatan menjelaskan bahawa gejala ini (merokok) meninggalkan implikasi buruk kepada kesihatan manusia. Sepatutnya ahli feqah menetapkan hukum haram kepada aktiviti merokok, kerana setiap perkara yang meninggalkan implikasi buruk kepada kesihatan manusia mesti diharamkan di sisi syarak.


Sebab diharamkan:


Ada sesetengah orang mengatakan “ Bagaimanakah mereka boleh mengharamkan pokok ini tanpa nas ? “


Jawapannya :

Sesungguhnya tidak mesti penggubal undang-undang menaskan setiap satu perkara-perkara yang diharamkan , memadailah mereka menetapkan garis panduan atau kaedah-kaedah yang akan termasuk di bawahnya pecahan-pecahan dan unit-unit. Kaedah-kaedah ini boleh membataskannya. Adapun perkara-perkara yang khusus maka tidak mungkin membataskannya.

Memadai bagi penggubal undang-undang mengharamkan sesuatu yang jelek dan memudaratkan, supaya termasuk di bawahnya kebanyakan makanan dan minuman lain yang juga mempunyai unsur jelek dan memudaratkan. Kerana inilah ulamak sepakat mengharamkan pokok Hasyisyah ( pokok yang menyebabkan ketagih ) dan pokok lain yang mempunyai unsur ketagihan,walaupun tidak ada nas tertentu yang mengharamkannya secara khusus.

Imam Abu Muhammad Bin Hazam Azzahiri, kita sedia maklumi dia seorang yang berpegang dengan zahir nas, walaupun begitu beliau tetap mengharamkan sesuatu yang memudaratkan dengan memakannya, kerana berpegang dengan nas-nas yang umum. Beliau mengatakan : “ Setiap sesuatu yang boleh memudaratkan maka ianya adalah haram, berdasarkan sabda nabi S.A.W yang bererti : “ Sesungguhnya Allah mewajibkan berlaku ihsan terhadap sesuatu, maka sesiapa memudaratkan dirinya sendiri atau orang lain maka dia telah tidak melakukan ihsan dan sesiapa yang tidak melakukan ihsan, maka dia telah menyalahi ketetapan,iaitu ketetapan Allah mesti melakukan ihsan terhadap segala sesuatu.”

Boleh juga menjadikan dalil untuk hukum ini, sabda Nabi S.A.W yang bererti : “ tidak boleh memudaratkan dan tidak boleh dimudaratkan” , begitu juga firman Allah yang bermaksud : “ Janganlah kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah sangat mengasihi kamu”.

Antara ungkapan feqah yang paling baik berhubung pengharaman memakan makanan yang boleh memudaratkan ialah ungkapan Iam Nawawi didalam kitab ‘ Raudah ‘, beliau berkata ;” Setiap sesuatu yang memudaratkan apabila dimakan seperti kaca, batu, racun maka hukum memakannya adalah haram. Setiap sesuatu yang suci yang tidak menimbulkan mudarat memakannya maka hukum memakannya adalah halal kecuali sesuatu yang dianggap jelek seperti mani dan hingus, maka memakannya adalah haram mengikut pendapat yang betul. Harus meminum ubat yang mengandungi sedikit racun yang tidak membahayakan, jika diperlukan.

Merokok diharamkan disisi syarak :

Di zaman kita ini tidak ada pendapat yang boleh menghalalkan merokok dalam apa bentuk sekalipun, selepas Persatuan Sains Perubatan membicarakan panjang lebar implikasi buruk merokok serta kesannya yang negatif, golongan elit dan orang awam juga mengetahui keburukan merokok dan dikuatkan lagi oleh perangkaan.

Apabila telah gugur pendapat bahawa merokok harus secara mutlak, maka yang ada hanyalah pendapat makruh dan haram. Sesungguhnya telah jelas kepada kita melalui perbincangan lalu bahawa hujjah haram merokok lebih kemas dan mantap. Inilah pendapat kita . Perbincangan lalu juga dijadikan garis panduan bagi memastikan terdapat mudarat pada tubuh badan, mudarat pada harta, dan mudarat pada jiwa dengan sebab merokok berterusan. Sesungguhnya setiap perkara yang boleh menjejaskan kesihatan manusia ianya mesti diharamkan disisi syarak.

Allah Taala berfirman dan maksudnya : “ Dan janganlah kamu campakkan diri-diri kamu ke kancah kebinasaan”, “ Dan janganlah kamu membunuh diri-diri kamu,sesungguhnya Allah amat mengasihi kamu” , “ Dan janganlah kamu membazir, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang membazir”. “ Dan janganlah kamu melakukan pembaziran,sesungguhnya orang-orang yang membazir adalah saudara syaitan.” Di sana ada kemudaratan tubuh badan dan di sana juga ada kemudaratan harta benda, maka menggunakan sesuatu yang memudaratkan manusia adalah diharamkan, berdasarkan firman Allah yang bermaksud : “ Janganlah kamu membunuh diri-diri kamu “. Kerana fakta inilah wajib kita berfatwa, merokok adalah haram di zaman kita ini.

Hakikat yang tidak boleh diragukan lagi bahawa kalangan doktor sepakat mengatakan terdapat kesan yang sangat buruk dalam aktiviti merokok. Benar kesan buruknya tidak segera tapi beransur-ansur. Namun kesan mudarat segera dan beransur-ansur adalah sama saja dari segi haramnya. Racun yang memberi kesan lambat atau segera sama saja, kedua-duanya diharamkan.


Manusia tidak harus memudaratkan atau membunuh dirinya dan mereka juga tidak boleh memudaratkan orang lain. Berkenaaan ini Nabi S.A.W bersabda : “ Tidak memudaratkan dan tidak boleh dimudaratkan “ , iaitu engkau tidak boleh memudaratkan diri engkau dan orang lain.

Merokok meninggalkan implikasi yang sangat buruk kepada diri manusia mengikut kesepakatan doktor sedunia, lantaran ini kerajaan-kerajaan sedunia mewajibkan syarikat yang mengiklan rokok menyebut “ Merokok Membahayakan Kesihatan”, selepas mereka yakin merokok memudaratkan semua orang. Justeru itu golongan fuqaha tidak boleh berselisih pendapat tentang mengharamkan merokok.

Layari : http://www.darulkautsar.com/pemurniansyariat/hukumrokok.htm atau www.qaradawi.net utk penerangan yang lebih terperinci dalam membincangkan topik ini.


No comments: